SALAM NUZUL QURAN

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera,

Nuzul Quran merupakan sebuah peristiwa penurunan Al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW yang berlaku pada bulan Ramadan tahun ke-41 keputeraan baginda ketika baginda sedang berehat di Gua Hira'. Al-Quran diturunkan daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus dan kemudian secara beransur-ansur mengikut suasana dan keperluan kepada Nabi Muhammad SAW. Antara ayat Al-Quran yang mula-mula diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui Jibrail adalah lima ayat pertama daripada Surah Al-Alaq.

Bulan Ramadan disinonimkan dengan Bulan Al-Quran kerana turunnya Al-Quran adalah pada bulan yang mulia ini. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud:

"Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah."
Turunnya Al-Quran ke muka bumi ini adalah sebagai petunjuk dan sumber panduan utama kepada umat Islam untuk membezakan perkara yang benar dan yang batil. Kitab suci ini tidak seharusnya hanya diperlagukan tanpa difahami, tetapi maknanya perlu dihayati dan iktibar perlu diteladani demi kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Ayuh bersama mengambil iktibar daripada peristiwa ini dan melazimi amalan membaca dan mentadabbur Al-Quran di bulan yang mulia ini. Semoga amalan kebaikkan yang dilakukan ketika di bulan Ramadan dapat terus dilaksanakan dengan istiqamah walaupun setelah bulan ini berakhir.