RAMADAN KAREEM: 1 RAMADAN 1442H

Assalamualaikum wbt dan selamat sejahtera,

Alhamdulillah segala syukur kepada Allah SWT, akhirnya kita dapat dipertemukan dengan Sayyidus Suhur atau penghulu segala bulan, bulan yang dikurniakan malam yang digandakan ganjaran seperti 1000 bulan iaitu bulan Ramadan Kareem.

Ramadan adalah bulan yang penuh dengan kemukjizatan, di mana pelbagai peristiwa besar dan mukjizat yang berlaku seperti turunnya Al-Quran, mukjizat terbesar bagi kaum muslimin dan juga malam Lailatul Qadr.

Terdapat pelbagai ganjaran yang dijanjikan kepada mereka yang berpuasa di bulan Ramadhan. Puasa di bulan Ramadhan mampu menjadi pembela dan pemberi syafaat ketika di akhirat kelak. Selain itu, puasa juga adalah pintu kepada ibadah yang lain kerana dengan berpuasa Allah SWT akan mengampuni dosa-dosa hamba. Tambahan, terbukanya pintu syurga dan tertutupnya pintu neraka ketika bulan ini dan tersedianya pintu khas buat mereka yang berpuasa iaitu pintu "Ar-Rayyan".

Antara amalan sunat yang boleh diamalkan sepanjang berpuasa di bulan Ramadan adalah melakukan solat terawih, bertadarus Al-Quran, melambatkan sahur dan mempercepat berbuka, bersedekah, melakukan qiamullail, berzikir dan sebagainya.

Oleh yang demikian, ayuhlah kita bersama-sama meraikan dan memeriahkan bulan Ramadhan ini dengan berlumba-lumba memperbanyak ibadah dan memperbaiki diri untuk meraih segala ganjaran di bulan mulia ini dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah:183)