ISRAK DAN MIKRAJ

Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera,

Pada 27 Rejab, setahun sebelum berlakunya peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW, berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, sebuah peristiwa luar biasa yang tercatat dalam sejarah Islam yang merupakan sebuah mukjizat agung yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW. Israk merupakan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin sambil menaiki binatang yang dipanggil Buraq. Mikraj pula merupakan perjalanan baginda dari Masjidil Aqsa ke Sidratul Muntaha.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini juga merupakan suatu bentuk tasliyah(hiburan) yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang dilanda duka akibat kehilangan isteri baginda, Khadijah binti Khuwailid dan bapa saudaranya Abu Talib serta diusir dan diseksa oleh penduduk Thaif sehingga tahun tersebut digelar sebagai Tahun Duka.

Sepanjang perjalanan itu, Nabi Muhammad SAW telah diiringi oleh malaikat Jibril dan baginda telah diperlihatkan pelbagai peristiwa yang ajaib dalam tempoh satu malam. Nabi Muhammad SAW telah bertemu dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha dan diwahyukan perintah solat 50 waktu sehari semalam, namun akhirnya telah dikurangkan kepada 5 waktu dengan mengekalkan pahala sebanyak 50 kali waktu solat.

Peristiwa ini juga telah dicatatkan di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra ayat 1 yang bermaksud; “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
[Al-Isra : 1]

Antara ibrah yang boleh diambil daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini adalah mengenai kekuasaan dan kebesaran Allah SWT, kepentingan ibadah solat kepada umat Islam dan ganjarannya dan kepentingan memahami bahawa setiap perkara baik dan buruk akan dibalas di akhirat kelak.

Semoga penghayatan daripada peristiwa Israk dan Mikraj ini mampu memberikan pedoman buat umat Islam untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan.