9 ZULHIJJAH : HARI ARAFAH

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Hari Arafah merupakan sebuah perayaan bagi penganut agama Islam yang berlaku pada 9 Zulhijah dalam kalendar Hijrah dan juga merupakan hari kedua dalam ibadah Haji. Pada hari ini, para Jemaah akan berkumpul dan melakukan ibadah wukuf di Padang Arafah, yang juga merupakan salah satu daripada rukun ibadah haji.

Hari Arafah adalah sangat signifikan kepada para muslimin dan muslimat sebagai memperingati peristiwa khutbah terakhir Nabi Muhammad S.A.W. ketika Haji Wida’ dan penurunan ayat 3 daripada Surah Al-Maidah berkenaan penyempurnaan agama Islam kepada umat Nabi Muhammad.

Terdapat pelbagai amalan sunat yang dapat diamalkan pada Hari Arafah ini, seperti melakukan puasa sunat dan memperbanyakkan doa dan zikir. Berpuasa sunat Arafah bagi mereka yang tidak melakukan haji adalah amat digalakkan kerana kita akan diberikan pengampunan setahun sebelum dan setahun selepasnya. Memperbanyak bacaan doa juga adalah amat digalakkan seperti mana sabda Nabi Muhammad S.A.W: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (HR. Tirmidzi no. 3585)

Pihak PPMK berharap agar para pelajar dapat menghayati ibrah dan intipati daripada peristiwa Hari Arafah ini dan memperbanyakkan ibadah pada hari yang mulia ini.
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”. [Riwayat Muslim (2402)]