AMANAT TAHUN BARU PRESIDEN PPMK 2022

Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Tanggal 1 Januari 2022, melangkah kita ke tahun baharu dengan seribu matlamat serta impian. Tahun 2021 sudah pasti merupakan tahun yang sungguh mencabar bagi semua pelajar untuk meneruskan kehidupan dalam pandemik COVID-19. Tetapi marilah kita memberi tepukan kepada diri masing-masing kerana berjaya melangkah ke tahun 2022 menembusi segala cabaran dan kekangan.
Telah kita mengorak langkah ke tahun 2022, maka wajarlah kita meninggalkan segala kepahitan dan hanya membawa pengajaran serta kenangan yang akan memotivasikan kita untuk terus menuju ke hadapan bak kata pepatah, ambil yang jernih buang yang keruh. Sebagai Presiden PPMK sesi ini, ingin saya ingatkan bahawa setiap tahun baru menandakan bertambahnya cabaran dalam hidup kita, maka bersedialah dengan ilmu dan tajamkanlah diri kita dengan kemahiran yang akan menjadi pedang di medan peperangan ini. Marilah kita bersama-sama menerapkan satu sifat yang baik seperti membaca buku, bersukan atau bangun awal setiap pagi pada tahun ini kerana setiap titik permulaan orang berjaya sentiasa bermula dengan akumulasi tabiat kecil dalam kehidupan seharian.
Kami dari barisan PPMK 21/22 akan berusaha untuk merealisasikan objektif utama kami dalam menjaga kebajikan ahli-ahli PPMK dengan pelbagai inisiatif yang mantap serta membantu ke arah pencapaian prestasi yang cemerlang dalam kalangan ahli PPMK walaupun dalam kekangan COVID-19 ini. Bersama-sama kita menembusi tembok ini dengan azam yang membara sehingga ke akhir tahun ini.
Saya mewakili barisan PPMK sesi 21/22 mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Malaysia di Korea Selatan terutamanya kepada semua ahli PPMK. Semoga segala cabaran yang bakal dihadapi pada tahun ini dapat mencorak kita sebagai duta kecil Malaysia yang cemerlang, gemilang dan terbilang bukan sahaja dalam akademik, malah holistik dalam kokurikulum dan sahsiah. Selamat Maju Jaya!
Sekian, terima kasih.

Kaviyashree Devi Mannikam
Presiden PPMK 21/22

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *