Juadah Aidilfitri: Lemang

[JUADAH AIDILFITRI: LEMANG]
Di Malaysia, pelbagai juadah disediakan sempena menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri. Antara juadah yang paling popular semestinya lemang yang dimasak menggunakan beras pulut serta santan lalu dimasukkan ke dalam ruas buluh yang telah dilapik dengan daun pisang. Buluh yang berisi santan dan beras pulut itu kemudiannya dibakar selama beberapa jam. Lemang jenis ini merupakan lemang paling mudah ditemui di Malaysia.
Antara lemang yang lainnya ialah lemang periuk kera di mana beras pulut dan santan dimasukkan ke dalam kelongsong periuk kera lalu dikukus, lemang tepung dimana beras pulut digantikan dengan tepung gandum dan dibakar sama seperti lemang biasa, lemang pulut hitam yang menggunakan beras pulut hitam dan lemang kelamai yang biasanya dihidangkan bersama kelapa parut. Lemang kelamai popular dalam kalangan masyarakat berketurunan Rawa dan hanya boleh ditemui di sekitar daerah Batang Padang, Perak.
Namun begitu, memasak lemang periuk kera adalah SANGAT TIDAK DIGALAKKAN kerana ia mampu merosakkan keseimbangan ekosistem memandangkan spesies periuk kera kian pupus. Spesies-spesies periuk kera juga disenaraikan sebagai spesies terancam oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *