LUKISAN YANG HIDUP

Darah pekat yang mengalir tidak dihiraukan. Matanya hanya tertumpu kearah sekujur tubuh yang sudah tiada bernyawa itu. Dia kini sedar bahawa ibunya tidak mungkin akan bergerak lagi.  Kejadian sebentar tadi datang umpama awan hitam yang bakal menyelubungi hidupnya selama-lamanya. Hidupnya bakal menjadi gelap tanpa arah. Kesedihan yang sungguh memeritkan hatinya sehingga tiada setitis air mata pun yang mampu mengalir keluar dari mata. Baginya kini, kata bahagia itu sudah tiada makna. Kerna mempertahankan dirinya yang tidak seperti manusia biasa ini, ibunya menjadi korban amarah penduduk kota.

“ Kau hanya mendatangkan bala di kota ini saja. Pergi kau dari sini serigala.”

“ Serigala tidak selayaknya tinggal bersama manusia. Kembali kau ke hutan tebal sana.”

Masih terngiang-ngiang suara penduduk kota yang memarahi dirinya tatkala dia bersiar-siar bersama ibunya di kota tempoh hari. Namun ketika itu dia ada bersama ibunya. Jadi dia tidak berasa takut dengan penduduk kota yang tidak mengerti akan keadaan dirinya. Ibu menjadi tempat dia berlindung. Ibunya juga tidak pernah menganggap dia pelik walaupun jelas fizikal meraka berdua jauh berbeza.

Tetapi malam itu berlaku sedikit kekecohan di kota. Sekumpulan serigala puak seberang telah datang menbuat onar dikota. Mereka dengan rakusnya memusnahkan hasil tanaman petani di hujung kota serta memakan bintang peliharaan mereka. Penduduk kota yang marah pantas bertindak menghapuskan serigala-serigala tersebut hingga dia pun menjadi mangsa.

“ Kau yang memanggil kaum kau kesini ya. Kau yang menyuruh mereka menyerang kota kita bukan. Kau harus dihukum serigala, makhluk picisan,” marah salah seorang warga kota tersebut. Kata-katanya disokong semua yang sedang berkumpul di halaman rumahnya.

“ Tidak! Itu tidak benar. Dia tidak bersalah. Tolonglah, jangan dihukum Adam. Dia tidak tahu menahu akan hal ini,” rayu ibu tidak putus-putus. Tetapi rayuan ibunya ditolak bulat-bulat. Selepas itu, Adam tidak ingat apa-apa. Kejadian tersebut berlaku dengan pantas. Sedar-sedar ibunya sudah terkulai layu berlumuran darah. Hatinya meluap-luap marah. Tanpa dia sedar dendam mula menghantui dirinya. Adam bertekad membuat onar di kota tersebut. Kemarahan dan dendam kesumatnya telah membuatkan Adam lupa banyak perkara dan dia sudah tidak menghiraukan keadaan sekeliling. Kemarahan dan dendam itu telah membuatkan Adam lupa akan nilai sebuah kasih dan sayang.

Apa salah diriku?  Adakah kerna tubuh badanku yang persis serigala ini menimbulkan api kemarahan mereka?  Aku harus menuntut bela.

“ Aaarrghh!!!.”

Jeritan memecahkan hening subuh itu memeranjatkan Maya. Pantas dia beralih kearah bingkai kosong di dalam bilik Adam. Keadaan bilik yang gelap menyukarkan penglihatannya tetapi dapat juga matanya menangkap susuk tubuh Adam.

“ Adam, mimpi buruk lagi ya,” soal Maya sedikit ketakutan. Namun, Adam hanya membisu. Melihatkan Adam tidak memberi respon, Maya cuba menyambung kata-katanya.  “ Adam, itu cuma mimpi sahaja. Kau tak …..”

“ Tak apa? Tak perlu aku fikirkan lagi? Ah!! Sudahlah Maya,” bentak Adam kasar. Dia sudah bosan mendengar suara Maya, si lukisan yang hidup itu. Ya! Lukisan yang hidup. Adam juga tidak mempunyai memori bagaimana lukisan itu bisa hidup seperti manusia biasa. Pada mulanya Adam kira lukisan hidup itu cuma ilusinya semata-mata, tetapi entah bagaimana dia sendiri mula sedar bahawa lukisan itu benar-benar bernyawa.

Adam bingkas bangun menuju ke dapur. Serabut fikirannya mendengar kata-kata sama yang keluar dari mulut Maya. Melihat Adam cuba melarikan diri daripadanya, Maya pantas mengejar. Menyelinap laju masuk ke bingkai-bingkai gambar menuju ke dapur.

“ Adam cuba bilang pada Maya apa sebenarnya yang Adam mimpikan tu. Mana tahu ada yang bisa Maya bantu.” Maya masih cuba memujuk Adam.

Langkah Adam terhenti. Terus dia berpaling memandang Maya yang berada di bingkai gambar sebelahnya. Renungan mata tajam Adam tidak sedikit mengentarkan Maya.

“ Hidupku ini sudah cukup menderita Maya. Dengan kehadiran kau, tidak akan mampu mengubah diriku. Dengan kehadiran kau, ibuku tidak akan dapat kembali lagi. Jadi buat apa perlu kau susah-susah membantu aku. Kau pun hanyalah lukisan yang tidak berperasaan sepertiku. Kau tak akan faham. Kau hanya lukisan yang tiada gunanya pada diriku,” tengking Adam lalu kembali ke kamar tidurnya.

Maya bungkam. Sungguh dia tidak menyangka Adam akan berkata begitu. Dia terus berlalu pergi. Dia benar-benar terasa hati dengan kata-kata Adam.

Lukisan yang tidak mempunyai perasaan dia bilang. Dia jugalah yang melukis aku. Mencurahkan segala perasaan dalam setiap titisan cat air di badan ini. Tidak sedarkah dia bahawa aku juga hidup. Akulah lukisan yang hidup! Dengan hidup itu dimaksudkan mempunyai perasaan seperti dia.

Adam hanya termangu di birai katil. Lukisan itu tidak akan pernah faham akan isi hatinya. Tangannya masih terasa bisa. Pertengkaran dengan serigala puak seberang yang datang menganggu kawasannya telah menyebabkan tangan kanannya luka. Adam bangun menuju kearah himpunan kanvas yang berserakan. Keadaan bilik yang gelap tidak menjadi masalah bagi dirinya yang merupakan serigala jadian. Kanvas yang kosong itu ditenung. Sekosong fikiran serta hidupnya kini.

Dalam keadaan bilik yang gelap gelita itu, tiba-tiba matanya menangkap sejalur cahaya yang berterbangan menembusi kanvas yang kosong itu. Puas diamati baru dia tersedar bahawa cahaya itu datang dari seekor pari-pari kecil yang datang entah dari mana.

“ Mari,” ajak pari-pari tersebut. Walaupun dalam keadaan binggung , Adam hanya menurut tanpa banyak bicara. Pari-pari tersebut mula terbang masuk ke dalam kanvas lukisan itu. Adam melangkah perlahan menurut jejak cahaya pari-pari tersebut. Seperti kisah dongeng yang selau diceritakan oleh ibunya suatu ketika dahulu, Adam kini melangkah masuk ke satu dunia baru yang sangat asing baginya.

“ Aku di mana ni?” soal Adam kebingungan. Pari-pari tersebut hanya tersenyum. Langkah Adam terhenti. Di hadapannya terbentang sebuah pemandagan yang sangat cantik. Tempat itu juga dihuni makhluk yang cukup ganjil bagi manusia biasa. Ada ikan yang sedang riang berterbangan di awanan yang biru. Ikan berterbangan? Aneh sungguh. Ada juga sekumpulan anak-anak serigala yang asyik bermain di bawah pohon gula kapas yang nampak menyelerakan. Di kanannya pula terdapat sebuah sungai yang mengalir jernih air bewarna hijau.

Setelah seketika, mereka meneruskan perjalanan menyusuri tebing sungai. Perjalanan yang Adam tidak tahu mana tujuan sebenarnya. Jalan yang tadi penuh dengan makhluk ganjil kini hanya hutan dikiri dan kanan. Puas berjalan akhirnya mereka sampai di hadapan sebuah rumah.

” Rumah siapa ini?” soalan Adam. Tetapi tetap saja pari-pari itu berdiam diri dan hanya senyuman sebagai ganti. Pintu rumah terkuak dengan sendirinya. Pari-pari tersebut memberi isyarat masuk kepada Adam lalu terbang menghilang. Tanpa banyak bicara Adam terus melangkah masuk. Alangkah terpesonanya Adam melihat lukisan-lukisan yang cantik tergantung di dinding rumah tersebut. Namun ada sesuatu yang menangkap fokusnya. Ya! Semua lukisan di rumah itu bergerak. Hidup dalam erti kata lain.

” Adam, sudah sampai rupanya kamu,” satu suara lelaki menegurnya. Adam kaget bukan sahaja kerana lelaki itu tahu namanya, tetapi lelaki itu persis dirinya. Memiliki tubuh badan seumpama serigala.

” Siapa kamu?” Soalan Adam tidak pun memeranjatkan dirinya. Adam tidak mengenali dirinya.

” Adam, ayah ni nak,” lelaki serigala itu bersuara kembali. Adam jadi kaget. Benarkah dia ayahku? Benarkah? ” Mungkin Adam tidak mengenali ayah, tetapi ayah yakin dan pasti ayah kenal anak ayah,” sambung lelaki serigala itu lagi. Adam yang dari tadi hanya membatukan diri terus berlari merangkul erat tubuh ayahnya. Lama sudah dia menanti saat ini.

“Ayah.” Hanya perkataan itu yang keluar dari mulut Adam. Air matanya yang sudah sekian lama tidak keluar, mengalir juga. Setelah keadaan kembali reda, ayah mempelawa Adam duduk. Maka duduk berbuallah dua beranak itu. Pelbagai cerita yang dikongsi bersama. Cerita sewaktu Adam kecil, cerita kehidupan Adam dan ibunya dan cerita peristiwa hitam yang mengubah hidup Adam.

” Ayah tahu kejadian yang menimpa ibu, tetapi ayah tidak dapat berbuat apa-apa. Maafkan ayah Adam. Maafkan ayah,” ujar ayahnya sayu.

” Tidak perlulah ayah meminta maaf. Bukan salah ayah, tapi salah penduduk kota sana.” Jelas kedengaran nada kemarahan pada suara Adam.

” Adam, elok kiranya Adam hapuskan perasaan dendam dan marah dalam hati itu. Boleh memudaratkan diri kalau tidak dibendung nak, ” nasihat ayahnya. Adam hanyaendiamkan diri. Sedar akan riak wajah anaknya yang sudah berubah itu, pantas ayahnya menukar topik perbualan.

” Cantik bukan lukisan-lukisan ini Adam,” soal ayah. Adam hanya mengangguk. Beberapa detik kemudia dia teringat akan lukisan tersebut yang hidup.

” Bagaimana semua lukisan ini boleh bergerak ayah?” Pertanyaan Adam sedikit memeranjatkan ayahnya. Adam tidak tahu tentang perkara ini kah?

” Perkara yang mustahil itu boleh berlaku dengan hanya sedikit imaginasi atau mungkin magik,” jawab ayahnya. Sedar akan riak wajah binggung anaknya, dia kembali menyambung. ” Adam sebenarnya makhluk seperti kita ini dilahirkan dengan satu bakat dan anugerah. Kita pandai mencanting kanvas menjadi lukisan indah yang hidup.” Penerangan ayahnya membuatkan Adam terdiam sejenak.

” Adam pun ada bakat itu bukan?” Adam masih lagi membatukan diri.

” Ayah…. Boleh ayah tolong Adam? Lukiskan wajah ibu untuk Adam,” ujar Adam secara tiba-tiba. Ayahnya tergamam.

” Maafkan ayah nak. Ayah sudah tidak boleh melukis lagi. Tangan ayah tidak lagi mampu berfungsi secara baik,” lembut bicara ayahnya. ” Kamu tidak boleh melukis lagi?” duga ayahnya. Adam terkejut mendengar soalan ayahnya. Bagaimana ayahnya boleh tahu akan hal itu. Perlahan kepalanya digerakkan keatas dan kebawah.

” Puncanya,” soal ayahnya inginkan kepastian.

”  Setelah kejadian yang meragut nyawa ibu itu, Adam tidak lagi boleh melukis,” perlahan nada suara Adam menjawab pertanyaan ayahnya. ” Adam juga sudah lupa akan wajah ibu,” sambung Adam. Ayahnya tergamam seketika. Mengapa boleh jadi begitu? Mahu sahaja dia menanyakan soalan itu kepada anaknya tetapi melihat raut wajah anak yang sudah berubah itu, dia hanya mendiamkan diri.

” Adam, bukankah dirumah ada sebuah lukisan ibu,” kata-kata ayahnya membuatkan dia terpinga-pinga. Lukisan ibu?

” Ayah, Adam harus pulang ayah. Adam harus pulang segera,” ujar Adam tidak sabar.

Guruh yang menggegarkan langit membuatkan Adam terbangun. Mimpikah dia? Ya, Maya!! Dia harus berjumpa Maya dengan segera. Pantas dia memulakan pencariannya namun Maya tidak kelihatan dimana-mana. Puas dia meneliti setiap bingkai gambar kosong yang tergantung di dinding rumah. Kenapa selama ini dia tidak sedar. Butakah dia? Benar, matanya saja yang celik tapi hatinya buta.

” Maya! ” jerit Adam.

” Adam panggil Maya.” Suara yang sangat Adam nanti-nantikan muncul dalam bingkai di hadapannya.

Dengan mata yang berkaca dek kerana menahan air matanya keluar Adam memulakan bicara. ” Adam minta maaf. Selama ini Adam tidak sedar dan tidak hargai apa yang ada di depan Adam. Adam sebenarnya yang tidak berperasaan. Adam sebenarnya yang tidak berguna. Maafkan Adam…. Ibu.” Tumpah juga air mata yang dia tahan tadi. Maya tersenyum memandang Adam.

Dendam dan amarah yang bersarang dalam hatinya telah membuatkan hatinya buta. Sehingga tidak mengenali wajah yang paling dia rindukan. Ibu.

Posted in Writting Week.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *