Sambutan Tahun Baru Cina 2017 (Laporan)

Pada 4 Mac 2017, Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PPMK) dengan kolaborasi Malaysia Association in the Republic of Korea (MARK) dan pihak Kedutaan Besar Malaysia telah menganjurkan Program Sambutan Tahun Baru Cina yang bertempat di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia, Seoul. Tujuan Sambutan Tahun Baru Cina diadakan adalah untuk bersama-sama meraikan Sambutan Tahun Cina bagi rakyat Malaysia yang tidak dapat pulang ke Malaysia.

Majlis bermula pada waktu 1.30 tengah hari selepas kedatangan Tuan yang Terutama, Duta Malaysia ke Korea Selatan Dato’ Rohana Ramli yang telah hadir untuk memeriahkan lagi majlis tersebut. Program dimulakan dengan ucapan Dato’ Rohana Ramli dan diteruskan dengan sesi menggaul Yee Sang. Sesi ini disempurnakan oleh Dato’ Rohana Ramli, wakil Kedutaan Besar Malaysia, En Fairuz Adli, wakil MARK, dan dua wakil PPMK.

Majlis diteruskan dengan persembahan sketsa daripada Batch 17 yang menceritakan asal usul Sambutan Tahun Baru Cina. Selepas itu, para tetamu dijamu dengan hidangan “Chi Kut Teh” dan sayur campur yang disediakan oleh PPMK. Pihak Kedutaan Besar dan MARK turut menyediakan hidangan potluck. Para tetamu menjamu selera sambil dihiburkan dengan persembahan dari MSDC dan Sarmita and the Borneo Band. Di samping itu, 3 cabutan bertuah yang merupakan baucer ditaja oleh Restoran Eid yang bernilai 10,000 won telah diadakan dan majlis diakhiri dengan kata-kata penghargaan dan sesi penggambaran sebelum majlis bersurai.

Kami mewakili pihak PPMK mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih semua yang hadir pada program ini. Penghargaan khas kami ucapkan kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia, pejabat PPL Seoul, pihak MARK, MSCD dan semua pelajar yang telah memberi kerjasama dan bantuan bagi melicinkan Program Sambutan Tahun Baru Cina.

Disediakan oleh,
Adian Weigen Goh
Biro Kebudayaan dan Kesenian 1

Posted in report.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *