Program Ramah Mesra (Laporan)

Pada 14 Januari 2017, Program Ramah Mesra 2017 telah diadakan dengan jayanya. Bertempat di Dewan Delima, Kolej Cemara, Shah Alam, Selangor program ini telah dihadiri oleh 24 orang fasilitator yang berdedikasi dan 42 orang pelajar KAMSA Batch 17. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memperkenalkan Persatuan Pelajar Malaysia PPMK serta bertujuan untuk memberi pendedahan awal serta persediaan yang perlu dilakukan untuk meneruskan pengajian di Korea Selatan.

Meja pendaftaran telah dibuka dan dikunjungi pelajar seawal jam 9.00 pagi. Program dapat dimulakan setengah jam lebih awal kerana pelajar KAMSA Batch 17 sangat menepati masa dan ini telah memberi pandangan yang sangat baik kepada pihak pengurusan majlis. Majlis telah dimulakan tepat jam 10.00 pagi tanpa kehadiran Koordinator Program Teknikal Korea, Puan Rosha binti Mohamed kerana mempunyai komitmen lain pada hari tersebut. Majlis dimulai dengan bacaan doa dan diteruskan dengan sesi perkenalan PPMK yang telah dikendalikan oleh Presiden PPMK saudari Muhammad Syafiq bin Ahmad Kamil. Melalui sesi ini mereka telah diperkenalkan PPMK dan peranan PPMK sebagai sebuah organisasi pelajar di Korea Selatan.

Selepas itu, mereka telah dibahagikan kepada 6 kumpulan yang terdiri daripada seorang ahli jawatankuasa PPMK, tiga orang fasillitator dan 7 orang pelajar KAMSA Batch 17. Fasilitator akademik telah mengetuai slot perbentangan dengan dibantu ahli jawatankuasa PPMK dan fasilitator yang lain. Slot ini adalah untuk menerangkan kepada pelajar KAMSA Batch 17 mengenai sesi pengajian di Institut Bahasa di Seoul National Universiti. Mereka telah diperingatkan mengenai dokumen dokumen penting yang perlu dibawa untuk kegunaan semasa proses kemasukan ke universiti nanti. Peserta menunjukkan minat yang sangat tinggi dan tidak kekok untuk bertanya soalan kepada fasilitator.

Pada pukul 12.30 program berhenti seketika untuk makan tengahari dan solat zohor. Peserta menggunakan masa ini sebaik-baiknya untuk merehatkan diri dan kembali cergas dan bersemangat untuk slot penerangan kebajikan dan perumahan yang bermula pada pukul 1.45 petang. Melalui slot ini mereka diberi gambaran awal rumah yang akan mereka diami dan diterangkan mengenai adab teman sebilik yang perlu mereka fahami. Selain itu slot ini juga digunakan untuk menerangkan mengenai jenis- jenis rawatan yang ditanggung penaja dan cara untuk membuat tuntutan bayaran. Selain itu fasilitator juga turut menerangkan mengenai makanan halal dan haram kepada mereka.
Program ini sangat bertuah dengan kehadiran Dr Zokhri bin Idris yang telah tamat pengajian peringkat PHD di Korea Universiti. Beliau bersetuju untuk berkongsi pengalaman dan memberi kata-kata motivasi kepada pelajar KAMSA Batch 17 yang akan melanjutkan pengajian ke Korea pada awal bulan Mac nanti. Rata-rata mereka memberikan respon yang positive semasa sesi ini diadakan. Untuk memeriahkan lagi program, pihak pengurusan majlis telah menyediakan quiz dan hadiah yang sangat menarik. Mereka juga diberi ole-ole tanda kenangan yang dibawa khas dari Korea. Majlis dapat ditamatkan pada pukul 4.30 petang. Sebelum beredar peserta tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar bersama sama.

Secara keseluruhannya program ini telah berjaya membantu pelajar-pelajar baru dalam membina pemikiran yang matang sebagai persediaan mempelajari langkah dan cara menyambung pengajian yang betul di Korea Selatan. . Selain itu hubungan silaturahim yang terbina diharapkan dapat memudahkan kehidupan pelajar KAMSA Batch 17 di Korea nanti.. Diharapkan program seperti dapat diteruskan pada masa akan dating.

Disediakan oleh:
Azzira binti Zakariya
Biro Akademik dan Kerjaya 1
Persatuan Pelajar Malaysia Korea sesi 2016-2017

Posted in report.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *