Hari Kebudayaan 2016 (Report)

Pada 4 Jun 2016 yang lepas, pihak PPMK telah menganjurkan Hari Kebudayaan 2016 di Dongyang Mirae University. Hari Kebudayaan merupakan salah satu program tahunan PPMK yang melibatkan semua ahli untuk menjalankan aktiviti kebudayaan dan kesenian Malaysia dalam satu hari. Program Hari Kebudayaan ini seringkali mendapat respon yang positif dan menggalakkan daripada para peserta dan merupakan satu program yang amat dinanti-nantikan oleh ahli-ahli PPMK. Sehubungan dengan itu, PPMK pada sesi 2015/2016 telah membuat keputusan untuk mengadakan Hari Kebudayaan sekali lagi dengan bertemakan Hari Gawai sempena sambutan Hari Gawai di Malaysia pada tahun ini.

Antara aktiviti yang telah diadakan adalah pertandingan Mereka Kolam, pertandingan Ceper, pertandingan Seni Kaligrafi, pertandingan Chopstick Master, pertandingan Baling Selipar, pertandingan Berbalas Pantun, pertandingan Ratu Gawai dan pertandingan Interpretasi Budaya serta pertandingan Talentime di mana kesemua pertandingan dimasukkan ke dalam batch war kecuali pertandingan Talentime yang dibuka kepada semua pelajar tanpa mengira batch.

Seawal jam 9.00 pagi, kaunter pendaftaran dan Multiculture Booth telah dibuka kepada semua pelajar. Namun begitu majlis pembukaan telah ditangguh ke pukul 10.00 pagi atas sebab kebanyakan pelajar masih dalam perjalanan. Majlis dimulakan dengan perasmian majlis oleh Presiden PPMK, Muhamad Irsyad Bin Muhamad Ibrahim dan diteruskan dengan penerangan tentative dan aktiviti yang dijalankan oleh Biro Kebudayaan dan Kesenian 1, Mohamad Aiman Bin Hassan.

Program telah dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang. Pada sesi pagi, aktiviti Mereka Kolam, Ceper, Seni Kaligrafi, Chopstick Master, Baling Selipar, Berbalas Pantun serta pra-Ratu Gawai telah dijalankan serentak di berlainan tempat setelah taklimat dijalankan. Mereka Kolam, Ceper, Seni Kaligrafi dan Chopstick Master telah dijalankan di sekitar Dewan Orientasi manakala Berbalas Pantun dijalankan di dalam Dewan Orientasi. Pra-Ratu Gawai merupakan sesi penyediaan kostum ratu gawai dan model sebelum diperagakan di sesi petang. Tahun ini, bagi menggantikan Sepak Takraw bagi acara lelaki, pertandingan Baling Selipar telah dijalankan di padang di hadapan perpustakaan Dongyang Mirae University. Walaupun terdapat sedikit perselisihan faham di antara pihak penganjur dan pihak staf Dongyang Mirae University, pertandingan Baling Selipar berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Program dimeriahkan lagi dengan kehadiran tetamu kehormat, Setiausaha Pertama Pendidikan dan Latihan Seoul, Pn Noor Aida binti Misran bersama suaminya yang telah memberikan sokongan penuh di setiap aktiviti yang telah dijalankan sepanjang program berlangsung. Program berhenti sebentar untuk memberikan laluan kepada para pelajar dan peserta untuk berehat, makan dan menunaikan solat sebelum aktiviti diteruskan ke sesi petang.

Sesi petang dimulakan dengan pertandingan Berbalas Pantun peringkat akhir sebelum diteruskan pertandingan Ratu Gawai. Bagi pertandingan Ratu Gawai, 5 orang juri telah dipilih secara rambang daripada setiap batch bagi melibatkan lagi pelajar di dalam program kali ini. Ratu Gawai jelas menunjukkan bakat dan kreativiti seni pelajar dalam mereka dan memperagakan pakaian mengikut syarat-syarat yang telah dijelaskan. Program kemudian disambung dengan pertandingan Interpretasi Budaya. Pertandingan ini merupakan aktiviti tahunan ketika Hari Kebudayaan dijalankan dengan sedikit perubahan bagi setiap tahun. Tahun ini, tema telah ditetapkan bagi setiap batch melalui proses cabutan oleh wakil setiap batch 2 minggu sebelum program berlangsung. Batch 12 mendapat tema India manakala Batch 14 mendapat tema Cina dan batch 15 telah mendapat tema Melayu. Batch 13 dan 16 telah mendapat tema yang sama iaitu tema Borneo.

Program diteruskan lagi dengan aktiviti terakhir iaitu pertandingan Talentime dimana pelajar bebas untuk menunjukkan bakat masing-masing sama ada dalam bentuk kumpulan atau solo tanpa mengira batch. Talentime telah mendapat 5 penyertaan daripada pelajar iaitu “Khairil & Izzat” dan “Heart of Borneo Sound” yang melakukan persembahan akustik gitar dan nyanyian, “STLO Somebody to lean on” “Ya Salam” dan “Powerpuff Girls” yang melakukan persembahan tarian.

Hari Kebudayan kemudian ditutup dengan pengumuman pemenang bagi setiap pertandingan dan sesi bergambar. Berikut merupakan keputusan bagi pertandingan-pertandingan yang telah dijalankan. Bagi pertandingan Ceper, tempat pertama dimenangi oleh batch 14, kedua batch 12 dan tempat ketiga batch 16. Bagi pertandingan Baling Selipar dijuarai oleh batch 12 diikuti batch 14 di tempat kedua dan batch 15 di tempat ketiga. Pertandingan Chopstick Master dijuarai oleh batch 12 dan batch 16 di tempat kedua serta batch 13 di tempat ketiga. Bagi pertandingan Kaligrafi dan Ratu Gawai, batch 15 telah memperoleh tempat pertama, batch 13 di tempat kedua dan batch 14 di tempat ketiga bagi kedua-dua aktiviti. Pertandingan Kolam dimenangi oleh batch 13 ditempat pertama, batch 14 di tempat kedua dan batch 12 di tempat ketiga. Bagi acara Berbalas Pantun pula, batch 13 mengekalkan kedudukan sebagai juara diikuti oleh batch 15 di tempat kedua dan batch 14 di tempat ketiga. Pertandingan Interpretasi Budaya dimenangi oleh batch 14 sebagai juara, batch 16 sebagai naib juara, batch 13 di tempat ketiga dan batch 15 dan 12 masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Pengiraan markah batch war bagi Hari Kebudayaan adalah seperti berikut. Kesemua pertandingan kecuali pertandingan Interpretasi Budaya; tempat pertama 5 markah, kedua 3 markah dan ketiga 1 markah. Bagi acara Interpretasi Budaya, tempat pertama 10 markah, kedua 7 markah, ketiga 5 markah, keempat 3 markah dan tempat terakhir 1 markah. Bagi Hari Kebudayaan 2016, batch 12 mendapat markah sebanyak 15 markah, batch 13 mendapat 22 markah, batch 14 mendapat 26 markah, batch 15 mendapat 12 markah dan batch 16 mendapat 16 markah terkumpul.

Posted in Blogging, report.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *