AMANAT TAHUN BARU PRESIDEN PPMK 2021

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Tahun 2020 telah melabuhkan tirainya tepat jam 11.59 malam tadi. Tahun 2020 bakal dikenang sebagai satu tahun yang amat mencabar dan memeritkan tatkala kita dilanda pandemik COVID-19. Pelbagai langkah yang telah diambil bagi mencegah penyebaran serta memutuskan rantaian COVID-19 ini termasuklah dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan atau lockdown. Di Korea Selatan pula, pihak kerajaan telah memperkenalkan 5 peringkat utama bagi mengawal penularan wabak ini. Kesan daripada COVID-19 amat besar bukan sahaja menjejaskan sektor-sektor utama malah aktiviti tahunan PPMK juga terpaksa dilaksanakan secara atas talian dan beberapa program alternatif lain turut diperkenalkan.

Hari ini merupakan hari permulaan bagi tahun 2021 ini. Sudah pasti dengan kehadiran tahun baru ini, akan lahir azam dan semangat yang baru untuk kita capai dalam tempoh tahun ini. Saya berharap setiap azam yang kita inginkan, didahulukan dengan niat yang ikhlas, disusuli dengan usaha, diakhiri dengan doa dan tawakkal agar azam yang kita inginkan bukan sekadar meniti di mulut tetapi akan membuahkan hasil. Azam kami dari barisan kepimpinan PPMK adalah untuk meneruskan usaha bagi menjaga kebajikan pelajar di Korea Selatan serta memastikan para pelajar mendapat manfaat daripada aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan pada tahun ini. Kami juga amat berharap agar para pelajar dapat faham berkenaan dengan keadaan semasa dan terus menyokong usaha PPMK.

Akhir kata, segala coretan sepanjang tahun 2020 sama ada suka mahupun duka, kita bukukan disanubari, buanglah yang keruh ambiklah yang jernih. Bersama-sama kita mengorak langkah bergerak ke depan memastikan misi dan visi kita sebagai pelajar dan duta kecil di negara Korea Selatan ini tercapai. Saya mewakili barisan kepimpinan PPMK 20/21 ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru kepada seluruh ahli PPMK dan warga Malaysia yang berada di bumi Kimchi ini. Semoga segala urusan dan perkara yang anda lakukan dipermudah dan tahun akan menjadi tahun yang amat bermakna buat kita semua.

Muhamad Shakir Bin Mohd Razali

Presiden PPMK 20/21

Sekian, terima kasih.