PROGRAM SUKARELAWAN : KE RUMAH ORANG TUA (LAPORAN)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Pada hari 13 Jun iaitu pada hari Rabu telah berlangsung Program Sukarelawan: Ke Rumah Orang Tua dan program ini telah berjalan dengan lancar. Kami dari pihak PPMK ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peserta yang telah menjayakan program ini walaupun terpaksa menghadapi dugaan bulan ramadan dan peperiksaan akhir universiti masing-masing.

Kami juga ingin memohon maaf jika terdapat kekurangan dan berjanji akan cuba membaikinya pada program yang akan datang.

GAWAI, KAAMATAN & CULTURE DAY 2018 (LAPORAN)

Gawai, Kaamatan and Culture Day telah berlangsung dengan jayanya di Dongyang Mirae University pada 2 Jun 2018. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan ialah Kabaddi, Galah Panjang, Lastik Tin, Laman Budaya, Tangram, Pantun dan Interpretasi Budaya. Aktiviti-aktiviti berjalan dari jam 1.30 tengahari sehingga 7.30 petang dengan melibatkan hampir 250 pelajar yang merupakan ahli PPMK. Terima kasih diucapkan.

IFTAR RAMADHAN 20 MEI 2018 (LAPORAN)

[IFTAR RAMADHAN 20 MEI 2018]

Assalamualaikum w.b.t dan Selamat Sejahtera

Alhamdulillah, sekarang kita semua telah pun berada dalam ramadhan yang ke-6 Semoga Allah mengampuni dosa kita semua serta terus mencucuri rahmatNya disepanjang bulan yang mulia ini. Seperti yang anda semua tahu, majlis Iftar Ramadhan yang pertama telahpun selamat dijalankan pada Ahad, 20 Mei 2018 yang lepas. Kehadiran adalah seramai 110 orang pelajar termasuk AJK PPMK, AMIR Korea, penggerak serta ahli PPMK yang lain. Selebihnya adalah termasuk dari kalangan rakyat Malaysia yang berada di Korea. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peserta yang terlibat, dan sekali lagi kami ingin memohon maaf diatas kekeliruan yang berlaku sewaktu pendaftaran peserta.

Jangan risau, kepada sesiapa yang tidak dapat menyertai Iftar yang lepas, anda bolehlah mendaftar bagi Iftar ramadhan yang akan berjalan untuk kali kedua pada Sabtu, 9 Jun 2018. Link penyertaan dan info selanjutnya akan diberitahu kemudian. Syukran Jazilan, semoga kita terus tabah menjalani ibadah berpuasa!

Course and Career Talk: Planning My Future! (LAPORAN)

[Course and Career Talk: Planning My Future!]

Assalamualaikum dan selamat sejahtera!😊

Pada 19 May yang lepas telah berlangsung dengan jayanya program Course and Career Talk: Planning My Future!

Jutaan terima kasih diucapkan kepada para pelajar dan semua pihak yang terlibat di dalam program ini. Kami berharap agar program ini sedikit sebanyak dapat membantu ahli PPMK dalam merancang masa hadapan anda!

Teruskan menyokong kami!

PERTAMA- Penerangan Perumahan Tahunan Mahasiswa 2007 (Laporan)

Pada 17 September 2017, Pihak PPMK sesi 2016/2017 seperti tahun-tahun yang sebelum ini telah menganjurkan program Penerangan Perumahan Tahunan Mahasiswa atau PERTAMA seperti tahun-tahun sebelum. Secara kasarnya program ini bertujuan untuk menjelaskan kepada pelajar-pelajar Malaysia di Korea Selatan tentang sistem perumahan dan cara pembayaran mengikut para penaja khususnya kepada junior-junior yang baru sampai ke Korea Selatan.

 

Pada keseluruhannya, program ini telah dijalankan pada hari Ahad  (17/09/2017) pukul 1.00 petang. Bermula pukul 12.45 tengah hari, AJK yang ditugaskan untuk menjaga pendaftaran telah bersedia di booth pendaftaran bagi menanti kehadiran para peserta. Setelah pukul 1.15 pm, program telah bermula dengan bacaan doa Biro Agama dan Kebajikan 1, Ahmad Razin bin Che Johari dan pembentangan dari Encik Khairul Effandi, Setiausaha Ketiga JPA Bahagian Hal Ehwal Pelajar.

 

Program diteruskan dengan pembentangan dari wakil Biro Perumahan & Penempatan PPMK pada pukul 1.45 pm untuk membentangkan kepada para peserta tentang sistem perumahan di Korea Selatan. Program diteruskan dengan sesi Q&A. Pelbagai soalan telah diajukan oleh para peserta mengenai sistem perumahan yang berbeza dengan sistem perumahan di Malaysia kepada Biro Perumahan.

 

Pembentangan dari Biro Perumahan tamat pada pukul 2.30 pm dan diteruskan dengan slot bersama AJK Penggerak Perumahan & Penempatan dan AJK PPMK mengikut universiti. Slot ini bertujuan untuk memberi peluang kepada senior menceritakan pengalaman serta merapatkan hubungan antara junior dan para senior. Slot ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada para peserta bertanya soalan yang lebih spesifik kepada kawasan universiti.

 

Sesi pemberian hadiah lucky draw juga telah diadakan di antara pembentangan oleh Encik Khairul Effandi dan selepas slot bersama AJK bagi menceriakan suasana di dalam dewan. Hadiah telah diberikan kepada para pemenang yang bertuah oleh Encik Khairul Effandi dan pengacara majlis pada hari tersebut iaitu Ahmad Razin Bin Che Johari dan Afiqah Binti Abdul Aziz. Program tamat sekitar pukul 4.00 pm selepas slot bersama AJK.

 

Secara keseluruhan, pihak PPMK merasakan segala objektif yang dirangka telah tercapai dan program berjalan dengan lancer mengikut jadual tentatif yang telah ditetapkan. Program PERTAMA yang dianjurkan kali ini telah mendapatkan sambutan yang menggalakkan dari para peserta dan diiringi dengan pelbagai maklum balas bagi menjadikan program lebih menarik dan mantap. Diharapkan program ini mampu diteruskan pada masa yang akan datang dengan mengambil kira komen dan cadangan yang dibangkitkan oleh para responden.

 

Disediakan oleh:

Muhammad Fakhrul Mirza bin Hashim

Biro Perumahan Dan Penempatan 2

Persatuan Pelajar Malaysia Korea 2016/17

Garage Sale 2017 (Laporan)

Pada 23 Febuari 2017 telah berlangsungnya Program Garage Sale & Donation anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Korea telah mengadakan yang bertempat di Dongyang Mirea University. Program ini merupakan program yang julang kali diadakan pada tahun ini dan telah mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelajar Malaysia di Korea Selatan. Program Garage Sale & Donation ini bertujuan untuk mengelakkan pembaziran, terutamanya Batch 12 yang bakal pulang ke Malaysia sambil memberi peluang kepada pelajar untuk menderma sambil membantu antara satu sama lain. Program ini boleh dikatakan satu landasan kepada para pelajar dalam aktiviti keusahawanan. Penjual boleh mendapat pendapatan lebih, manakala pembeli dapat membeli barang dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran. Program ini telah melibatkan sebanyak 8 booth barangan dan 4 booth makanan. Barang-barang yang dijual adalah seperti baju sejuk, baju berlengan panjang, lilin handmade, teh-teh bunga, beg, kasut, barang dapur dan sebagainya, manakala makanan yang disediakan adalah seperti nasi lemak, nasi lauk campur, roti jala, apam balik, teh tarik dan lain-lain lagi.

Pada hari tersebut, meja pendaftaran untuk pelajar yang membuka booth telah dibuka seawal jam 12.00 tengah hari. Sebelum 1.00 petang, batch 17 seramai 41 orang pelajar telah sampai tempat program dan tepat jam 1.30 petang, Program Garage Sale dimulakan dengan bacaan doa dan seterusnya, program dirasmikan oleh Presiden PPMK dengan membuka bola ping pong. Selain itu, timbalan presiden PPMK juga dijemput untuk memberi sepatah dua kata tentang objektif program. Dengan itu, bermulanya Program Garage Sale & Donation 2017. Pelajar-pelajar mula mengunjungi booth yang sedia ada dan membeli barang yang diperlukan oleh mereka. Sementara itu, saudara Ahmad Razin bin Che Johari dan saudari Noor Aimi Syahirah binti Mohamad Zaini mula mengunjungi booth satu demi satu dan mempromosikan barang-barang yang dijual di booth masing-masing. Suara mereka telah menghangatkan suasana dan memeriahkan program tersebut. Pada masa yang sama, siaran langsung video Facebook juga telah dibuat untuk menarik lagi ramai ahli PPMK datang ke tempat program.

Pada pukul 5 petang, semua makanan telah berjaya dijual dan bilangan palajar semakin berkurangan. Pelajar yang membuka booth barangan mula membuat lelongan terakhir untuk menjual barangan yang masih ada di booth mereka. Sementara itu, mereka juga mula mengemas barang dan membersihkan booth masing-masing. Pelajar telah membantu memindahkan meja dan kerusi ke tempat asal untuk dipulangkan kepada pihak Dongyang Mirae University. Pada akhir program tersebut, pihak PPMK telah menyerahkan barang-barang yang telah didermakan kepada pihak AMIR CARE untuk diderma kepada parti ketiga melalui program ‘GIFT’ di penghujung program.

Pada pukul 6 petang, semua AJK PPMK telah membersihkan dewan dan program diakhiri dengan sesi bergambar AJK PPMK.

Secara keseluruhannya, Program Garage Sale & Donation 2017 telah dijalankan dengan lancar dan boleh dikatakan berjaya mencapai objektif yang dijangka. Program tersebut juga memberi manfaat kepada semua pihak sama ade penjual ataupun pembeli. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa depan.

Disediakan oleh:
Ng Pei Qi
Biro Agama dan Kebajikan 2
Persatuan Pelajar Malaysia Korea 2016-2017