Sambutan Tahun Baru Cina 2016 (Report)

12771798_950085755082977_3576216646442797071_o

Pada 27 Februari 2016 telah berlangsungnya program Sambutan Tahun Baru Cina 2016 anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PPMK) dengan kolaborasi bersama Malaysia Association in the Republic of Korea (MARK) yang bertempat di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia, Seoul. Sambutan kali ini telah melibatkan seramai 133 orang yang terdiri daripada ahli PPMK, ahli MARK dan juga anggota Kedutaan Malaysia. Sambutan Tahun Baru Cina merupakan acara tahunan PPMK yang diadakan untuk meraikan kaum Cina di Korea Selatan yang bersama-sama rakyat Malaysia yang lain yang tidak dapat pulang beraya di tanah air tercinta. Acara ini dapat mengukuhkan perpaduan dan hubungan silaturrahim dalam kalangan rakyat Malaysia selain merapatkan hubungan antara ahli PPMK dengan ahli MARK beserta anggota Kedutaan Malaysia.

Pada hari sambutan, pendaftaran telah dibuka seawal jam 11 pagi dan majlis telah dimulakan tepat jam 12.30 tengahari. Program telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pembuka majlis dan diteruskan dengan ucapan presiden PPMK saudara Muhamad Irsyad bin Muhamad Ibrahim yang turut meluahkan ucapan terima kasih atas kerjasama MARK dan pihak Kedutaan Malaysia dalam menjayakan sambutan pada kali ini. Kemudian, acara dirasmikan dengan gimik perasmian iaitu dengan acara menggaul yeesang yang merupakan adat yang dilakukan oleh kaum Cina pada Tahun Baru Cina. Sesi ini telah disempurnakan oleh Presiden PPMK, saudara Irsyad Ibrahim, wakil MARK, En. Zokhri Idris, wakil Kedutaan Malaysia, En. Fairuz Adli dan juga wakil kaum Cina, saudari Wi Siew Ling dan wakil kaum India, saudara Thamil Selvan.

Majlis kemudian diteruskan dengan jamuan makan tengahari yang disediakan oleh PPMK beserta hidangan potluck. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan-persembahan yang disediakan oleh batch 16, persembahan tarian gabungan Tarian Kipas kaum Cina dengan tarian moden barat Robot Dance dan juga persembahan nyanyian lagu Tahun Baru Cina. Tayangan video turut disediakan oleh batch 16 dan juga pihak PPMK bagi menyerikan lagi sambutan. Majlis dikejutkan dengan persembahan mengejut oleh pengerusi majlis, saudara Akmal Hakim bin Azizey yang membuat nyanyian solo akustik.
Sambutan disambung dengan acara cabutan bertuah yang merupakan hadiah angpau yang bernilah 5000won yang telah dicabut oleh Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan, Dato Rohana Ramli sebanyak tiga kali cabutan dan kemudiannya ditutup dengan kata-kata penghargaan kepada para tetamu yang hadir dan juga sesi penggambaran sebelum majlis bersurai.

Ribuan terima kasih diucapkan kepada para tetamu yang sudi meluangkan masa menghadiri sambutan Tahun Baru Cina pada kali ini dan juga pihak PPMK ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada MARK dan Pejabat Kedutaan Malaysia yang sudi berkolaborasi bersama PPMK menjayakan sambutan kali ini.

Disediakan oleh

Mohamad Aiman bin Hassan
Biro Kebudayaan dan Kesenian 1

Chinese New Year Celebration 2016 (Gallery)

Posted in Blogging.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *