ORIENTASI 2016 (Report)

12795240_950083355083217_7487486055795236771_o

Pada 22 – 24 Februari 2016, PPMK telah mengadakan Program Orientasi 2016 bertujuan memperkenalkan dan memperjelaskan mengenai hala tuju kehidupan pelajar-pelajar Batch 16 sepanjang mereka berada di Korea Selatan. Program ini telah diadakan di Dewan Besar Dongyang Mirae University dan telah melibatkan pelajar Batch 16 seramai 77 orang dan Ahli Jawatankuasa Orientasi seramai 66 orang.

Hari pertama orientasi telah bermula dengan slot ice breaking pada pukul 9.00 pagi. Slot ini telah diuruskan oleh Biro Disiplin dengan kerjasama AJK LDK/fasilitator. Peserta telah dibahagikan kepada 9 kumpulan dan telah ditugaskan untuk menghasilkan nama kumpulan dan sorakan kumpulan (cheers) yang paling menarik. Program diteruskan dengan slot Pembentangan Asas Hidup dan Pengurusan Kewangan yang telah disampaikan oleh saudara Muhamad Abdul Rafiq Bin Mat Diah. Selepas rehat, program disambung dengan slot Pembentangan Akademik yang disampaikan oleh saudari Wi Siew Ling. Pada pukul 2.00 petang, Teambuilding Project telah diadakan bagi mengasah kepantasan peserta dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh fasilitator. Slot terakhir pada hari tersebut adalah slot Know Your Batch. Dalam slot ini, Pelajar-pelajar Batch 16 telah diberi tugasan untuk menghafal maklumat PPL Seoul, Presiden PPMK, dan Biro Agama dan Kebajikan 1 serta mengenali sekurang-kurangnya lima orang senior.

Pada hari kedua orientasi, semua peserta telah memulakan program Kembara ‘The Road My Journey’ dari penempatan mereka iaitu di Sillim pada pukul 7.30 pagi. Misi yang perlu mereka lakukan adalah menyelesaikan petunjuk tiga destinasi yang perlu mereka lawati seterusnya pergi ke tempat tersebut mengikut urutan dan apabila sampai di sana, mereka perlu melengkapkan tugasan yang telah diberikan. Antara tempat yang dilawati adalah Korea University, Namdaemun, Insadong dan Itaewon. Slot pada pukul 4.00 petang adalah sesi khas bersama Pegawai PPL Seoul. Sesi ini telah dimulakan dengan penerangan kewangan daripada Setiausaha Ketiga JPA Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Encik Khairul Effandi Bin Shafiee. Seterusnya sesi ini diteruskan dengan penerangan daripada Setiausaha Pertama Pendidikan dan Latihan Seoul, Puan Noor Aida Binti Misran mengenai klausa-klausa yang terdapat dalam perjanjian penajaan, dan juga dasar-dasar serta peraturan penajaan. Program ini telah disambung dengan Pembentangan Kembara yang dilakukan oleh pelajar-pelajar Batch 16 yang bertujuan untuk melatih skil pelajar dalam menyampaikan maklumat yang penting dalam masa yang ditetapkan. Selepas rehat dan makan malam, pelajar telah mengikuti slot kemuncak iaitu slot ‘Jenga’. Dalam slot ini, kesatuan para pelajar Batch 16 diuji bagi memastikan kebolehan mereka untuk saling tolong-menolong dan bersatu padu sesama ahli batch sepanjang mereka berada di Korea Selatan.

Pada hari terakhir Program Orientasi 2016, pelajar-pelajar Batch 16 telah menyertai slot kuiz ‘I Have No Idea’. Objektif slot ini adalah untuk menguji kefahaman pelajar-pelajar mengenai sejarah Korea Selatan. Tiga kumpulan terbaik telah diberikan hamper sebagai hadiah atas kejayaan menjawab soalan-soalan yang telah diberikan. Slot kedua adalah slot Penerangan Perumahan yang telah disampaikan oleh Biro Perumahan dan Penempatan 2, saudara Mohamad Syafiq bin Jalal. Program ini telah diakhiri dengan slot bersama AJK Orientasi yang mana bertujuan untuk memberi peluang kepada Biro Disiplin dan Kem Komandan menerangkan dan merumuskan objektif semua slot yang telah diadakan sepanjang Program Orientasi 2016. Para senior juga telah berkongsi kisah-kisah mereka sepanjang mereka berada di Korea sebagai teladan dan contoh kepada junior-junior Batch 16.

Pihak PPMK ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar Batch 16 yang telah dapat menyertai program ini dengan jayanya. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua AJK Orientasi 2016 yang telah berusaha keras untuk memastikan kelancaran program. Tidak dilupakan juga kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini.

Disediakan oleh,
Nabilah Hannah Binti Elias
Setiausaha Agung
PPMK sesi 2015/2016

Orientasi 2016 (Gallery)

Posted in Blogging.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *